KUALA LUMPUR: Pengerusi bukan eksekutif IJM Corporation Bhd, Tan Sri Krishnan Tan, mengesahkan beliau sedang bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu siasatan yang sedang berjalan.
Tidak terlibat operasi harian tapi tak mahu letak jawatan pengerusi
Dalam satu kenyataan, Krishnan menegaskan beliau tidak terlibat dalam operasi harian mahupun pengurusan syarikat, sekali gus memberi gambaran bahawa siasatan tersebut bersifat peribadi dan tidak membabitkan lembaga pengarah atau pasukan pengurusan IJM secara keseluruhan.
“Saya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian. Saya mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap proses penguatkuasaan serta undang-undang negara.
“Pada ketika ini, adalah tidak wajar untuk saya mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan,” katanya.
Persoalan turut timbul mengapa penafian tersebut perlu dibuat sekiranya siasatan itu tidak berkaitan dengan operasi korporat IJM. Bagi meredakan kebimbangan pasaran dan meleraikan persepsi awam, terdapat pandangan bahawa Krishnan Tan wajar mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Beliau juga dilihat tidak seharusnya berlindung di sebalik institusi Lembaga Pengarah IJM Corp dalam menghadapi siasatan yang bersifat peribadi pengubahan wang haram sehingga RM2.5 bilion.
Bagi Lembaga Pengarah dan Pengurusan IJM pula, syarikat itu menegaskan bahawa pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan setiap operasi dijalankan dengan tahap integriti yang tinggi serta bebas daripada unsur rasuah. Ini termasuk mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang kukuh selain melaksanakan Sistem Pengurusan Anti-Sogokan yang diperakui di bawah piawaian ISO 37001:2025, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan terhadap pematuhan dan amalan korporat terbaik.
Dalam kenyataan berasingan, IJM Corporation memaklumkan bahawa syarikat telah memberi kerjasama rapat kepada pihak berkuasa, termasuk memberikan maklum balas segera terhadap semua permintaan serta menyediakan maklumat dan kakitangan berkaitan bagi membantu siasatan.
Lembaga pengarah turut memberi jaminan bahawa perniagaan kumpulan itu berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh perkembangan berkenaan.
Menurut IJM, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan operasi dijalankan dengan integriti serta bebas daripada rasuah, termasuk mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Sogokan yang diperakui di bawah piawaian ISO 37001:2025.
“Lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kekal fokus kepada kesinambungan perniagaan, mengekalkan keyakinan pelanggan dan rakan kongsi, serta menegakkan standard tadbir urus korporat dan pematuhan yang tinggi.
“Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan, syarikat tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut buat masa ini dan akan menyediakan kemas kini selaras dengan keperluan undang-undang serta peraturan yang terpakai,” kata syarikat itu.
Siasatan terhadap Tan Sri Krishnan Tan dilihat sebagai ujian reputasi kepada kepimpinan tertinggi korporat, namun setakat ini tiada petunjuk bahawa ia menjejaskan struktur pengurusan atau operasi IJM.
