KUALA LUMPUR — IJM Corporation Berhad dan Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Dato’ Tan Boon Seng @ Krishnan, secara rasmi telah memulakan langkah undang-undang terhadap portal The Corporate Secret susulan penerbitan beberapa laporan yang kononnya didakwa mengandungi kenyataan fitnah, tidak berasas dan bersifat melulu, sekali gus menjejaskan reputasi korporat IJM serta nama peribadi Tan Sri Krishnan Tan.
Perkara itu dizahirkan melalui Surat Tuntutan (Letter of Demand, LOD) bertarikh 28 November 2025 yang dihantar oleh firma guaman terkemuka Shearn Delamore & Co, yang bertindak bagi pihak kedua-dua plaintif. LOD tersebut memperincikan dakwaan bahawa tiga artikel yang diterbitkan oleh The Corporate Secret pada 22 Oktober, 12 November dan 18 November 2025 mengandungi pelbagai tuduhan serius, termasuk dakwaan pengubahan wang haram, pemilikan akaun luar pesisir bernilai berbilion ringgit, serta penglibatan agensi penguat kuasa dan pengawal selia luar negara — kesemuanya dinafikan sepenuhnya oleh pihak IJM dan Tan Sri Krishnan Tan sebagai tidak benar, berniat jahat dan diterbitkan tanpa sebarang asas fakta yang sah

Menurut kandungan LOD tersebut, artikel-artikel berkenaan bukan sahaja menyampaikan naratif berbentuk tuduhan, malah turut disokong dengan grafik sensasi, imej, video serta angka kewangan yang didakwa memberi gambaran seolah-olah wujud salah laku kewangan berskala besar melibatkan kepimpinan tertinggi IJM. Pihak guaman menegaskan bahawa pendekatan editorial sedemikian telah melampaui sempadan kewartawanan, bersifat prejudis, dan secara langsung mencemarkan nama baik klien mereka di mata pelabur, institusi kewangan serta pihak berkepentingan domestik dan antarabangsa
Lebih tegas, LOD tersebut menyatakan bahawa kesan penerbitan itu telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi dan goodwill IJM sebagai syarikat tersenarai awam, selain memberi implikasi negatif terhadap persepsi pasaran, keyakinan pelabur dan kedudukan korporat Tan Sri Krishnan Tan sebagai tokoh korporat negara
Tuntutan IJM & Tan Sri Krishnan Tan
Sehubungan itu, IJM dan Tan Sri Krishnan Tan menuntut agar The Corporate Secret:
- Menarik balik serta-merta dan secara kekal ketiga-tiga artikel yang dipertikaikan, termasuk semua salinan, grafik dan video berkaitan;
- Menghentikan serta-merta (cease and desist) sebarang penerbitan lanjut yang mengulangi atau menyerupai dakwaan sama;
- Mengeluarkan penarikan balik dan permohonan maaf penuh tanpa syarat dalam tempoh 24 jam, dengan tahap penonjolan yang setara atau lebih daripada penerbitan asal;
- Bersedia berdepan tindakan saman mahkamah, termasuk tuntutan ganti rugi dan kos guaman, sekiranya gagal mematuhi tuntutan yang dinyatakan
Walaupun tiada jumlah pampasan dinyatakan secara spesifik dalam LOD tersebut, surat itu dengan jelas menyatakan bahawa segala kos dan ganti rugi akan ditentukan oleh Mahkamah, yang lazimnya merangkumi:
- Ganti rugi am bagi kerosakan reputasi dan nama baik;
- Ganti rugi teruk atau teladan (aggravated / exemplary damages) sekiranya mahkamah mendapati wujud unsur niat jahat, kecuaian melampau atau penerbitan berterusan;
- Kos guaman penuh, termasuk yuran peguam dan perbelanjaan prosiding undang-undang.
LOD itu juga menegaskan bahawa IJM dan Tan Sri Krishnan Tan menyimpan semua hak undang-undang mereka, dan telah memberi arahan jelas kepada peguam untuk memulakan prosiding tanpa sebarang notis lanjut sekiranya The Corporate Secret gagal mematuhi tuntutan dalam tempoh ditetapkan, termasuk keperluan menamakan firma guaman bagi tujuan penyampaian dokumen mahkama
ARTIKEL IJM
