KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI menyaksikan perubahan penting dalam barisan kepimpinannya apabila enam timbalan menteri dinaikkan ke jawatan menteri penuh, manakala seorang Ahli Parlimen diperkenalkan sebagai wajah baharu Kabinet dalam pengumuman rombakan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan penyusunan semula melibatkan 11 portfolio, memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Pelantikan itu menyaksikan Hannah Yeoh meninggalkan portfolio belia dan sukan untuk mengambil peranan baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan.
Dalam rombakan sama, beberapa timbalan menteri diberi kepercayaan lebih besar apabila diangkat mengetuai kementerian. Antaranya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kini menerajui Kementerian Ekonomi.
Sementara itu, Datuk Mustafa Sakmud, sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), manakala Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengambil alih tanggungjawab sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Rombakan ini dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada Kabinet, selepas kedua-duanya tidak berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing dalam pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu.
Langkah penyusunan semula tersebut disifatkan sebagai usaha memperkemas jentera pentadbiran bagi memastikan kelangsungan agenda reformasi dan kecekapan pelaksanaan dasar kerajaan.
