
Nama besar dunia konsesi tol, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, kini bertukar wajah daripada “taikun lebuh raya” kepada tertuduh jenayah kewangan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 17 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM452 juta.
Tokoh yang selama ini sinonim dengan Maju Holdings Sdn Bhd – pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) – dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat bagi mengalirkan dana berkaitan cadangan projek MEX II (Putrajaya – KLIA).
Butiran Pertuduhan
- 4 pertuduhan pecah amanah (CBT): RM313 juta
- 13 pertuduhan pengubahan wang haram (MLA): RM139 juta
- Jumlah keseluruhan: RM452 juta
Kesalahan dikatakan berlaku di CIMB Bank, Bukit Tunku – lokasi elit yang sebelum ini menjadi “command centre” kepada pelbagai transaksi korporat Maju Holdings.
Mahkamah: Abu Sahid Mengaku Tidak Bersalah
Abu Sahid, hadir berkerusi roda dengan alasan masalah kesihatan, hanya mengulangi jawapan ringkas:
“Faham… tidak mengaku salah.”
Namun di sebalik jawapan itu, skandal ini mengundang persoalan besar tentang bagaimana aset konsesi strategik negara seperti MEX boleh ditadbir secara longgar hingga membuka ruang penyalahgunaan berbilion ringgit.
Korporat & Politik
Maju Holdings pernah dilihat sebagai “cash cow” dalam rundingan politik dan korporat, termasuk spekulasi pengambilalihan oleh pelabur asing.
Pertuduhan ini dijangka memberi tekanan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menilai semula semua projek konsesi lebuh raya.
Dengan RM452 juta kini menjadi bahan bukti di mahkamah, kredibiliti Abu Sahid sebagai ikon usahawan Bumiputera era 1990-an hancur sekelip mata.