
KUALA LUMPUR – Tiga individu berkait rapat dengan konsesi lebuh raya MEX II termasuk tokoh korporat, Tan Sri Abu Sahid Mohamed atau Abu Juling, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lebih 15 pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan penggunaan dokumen palsu membabitkan jumlah keseluruhan RM452 juta.
Abu Sahid, 78, yang juga pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta 13 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Isterinya, Noor Azrina Mohd Azmi, 38, pula didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM67.1 juta menerusi akaun bank milik suaminya.

Sementara itu, bekas pengarah MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong, 52, didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan 13 dokumen palsu sebagai tuntutan projek bernilai RM314.5 juta berkaitan pembangunan lebuh raya tersebut.
Pendakwaan dibuat di dua Mahkamah Sesyen berasingan, dengan Abu Sahid didakwa di hadapan Hakim Suzanna Hussin, manakala Noor Azrina dan Yap di hadapan Hakim Rosli Ahmad. Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengetuai pasukan pendakwaan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam terkenal, Hisyam Teh Poh Teik.
Abu Sahid yang hadir berkerusi roda kerana masalah kesihatan, dibenarkan berada di luar kandang tertuduh. Mahkamah menetapkan ikat jamin RM1.5 juta terhadapnya, RM1 juta bagi Yap dan RM500,000 terhadap Noor Azrina. Pasport ketiga-tiga tertuduh turut diarahkan diserah kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 November.
Mengikut kertas pertuduhan, Abu Sahid didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengarah Maju Holdings untuk melakukan pecah amanah melibatkan dana syarikat berjumlah RM313.1 juta melalui beberapa transaksi antara 2016 hingga 2019.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram, beliau dituduh memindahkan RM139.2 juta daripada akaun peribadinya kepada lima individu dan lima syarikat, termasuk mengeluarkan wang melalui 15 keping cek.
Jika sabit kesalahan, Abu Sahid berdepan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda untuk pertuduhan pecah amanah, manakala di bawah AMLATFPUAA, hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda lima kali ganda jumlah hasil haram atau RM5 juta, mengikut jumlah mana yang lebih tinggi.
Noor Azrina pula didakwa menerima dua transaksi wang haram berjumlah RM67.1 juta daripada akaun suaminya pada 6 Mac dan 27 Nov 2017 di CIMB Bank cawangan Bukit Tunku.
Sementara itu, Yap didakwa menggunakan dokumen palsu dalam tuntutan projek lebuh raya MEX II antara Jun 2017 hingga April 2018. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Maju Holdings merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Maju (MEX) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Putrajaya dan KLIA.