
KUALA LUMPUR – Sebuah rangkaian penyeludupan rentas sempadan yang dipercayai kebal selama lebih lima tahun akhirnya tumbang apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu berprofil tinggi dalam operasi khas Ops Sohor di sekitar Lembah Klang kelmarin.
Mereka yang diberkas termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , tiga daripadanya pegawai perisikan aktif bersama dua wartawan portal berita, seorang pengurus syarikat, seorang pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA), dan seorang wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah.
Lebih mengejutkan, salah seorang yang ditahan adalah Lt Kol Ahmad Afiq Ahmad Hasbullah, anak kepada bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (Bersara) Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Nama & Jawatan Pegawai ATM Yang Ditahan
Nama Pegawai | Cabang / Unit | Akses & Peranan Utama |
Lt Kol Kamarulzaman bin Ali | TUDM – MDIO | Risikan strategik ATM |
Kept Mahazam bin Ali | TLDM – BSEP MTL | Komunikasi & peperangan maklumat |
Lt Kol Ahmad Afiq bin Ahmad Hasbullah – Anak Tan Sri Ahmad Hasbulah Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia ke-27 | Tentera Darat – RISIK 3 DIV | Risikan Divisyen, hubungan langsung bekas Panglima Tentera Darat |
Lt Kol Sharul Nizam bin Shafi’n | BIP – MINDEF | Dasar & kolaborasi industri pertahanan |
Kol Muhammad Haris bin Asmuni | MDIO – DKRB | Pengarah operasi/keupayaan risikan strategik |

Sindiket Dalam Uniform
Siasatan awal SPRM mendapati pegawai-pegawai ini membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket penyeludupan, melibatkan kemasukan dadah, rokok seludup, minuman keras, senjata tiruan, dan barangan larangan lain dari negara jiran.
PERKARA | BUTIRAN |
Nilai operasi | RM5 juta sebulan |
Rasuah diterima | RM30,000–RM50,000 setiap trip |
Tempoh kegiatan | Lebih 5 tahun |
Anggaran hasil rasuah | RM3 juta |
Menurut sumber, sebahagian aktiviti ini berjalan lancar kerana dilindungi “orang dalam” yang sepatutnya mempertahankan keselamatan negara.
Rampasan & Bahan Bukti
Operasi bersepadu SPRM turut merampas, tunai RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang & penyukat, minuman keras dan senjata tiruan
Tempoh Reman
1. 4 lelaki: 7 hari (hingga 20 Ogos 2025)
2. 2 lelaki & 1 wanita: 5 hari (hingga 18 Ogos 2025)
3. 2 lelaki & 1 wanita warga Indonesia: 3 hari (hingga 16 Ogos 2025)
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jejak Korporat di Sabah
Siasatan turut mengaitkan seorang suspek dengan syarikat kawalan keselamatan di Sabah yang pernah membekalkan perkhidmatan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Tawau, Maritim Sandakan, dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.
Maklumat awal mendakwa sindiket ini menembusi projek kawalan keselamatan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – termasuk tuntutan bayaran untuk pengawal keselamatan dan pemasangan CCTV yang tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya.
Siapakah syarikat ini?
Tamparan Kepada Institusi Tentera
Sumber keselamatan menyifatkan tangkapan ini sebagai “tamparan hebat” kepada kredibiliti ATM.
“Ini bukan sekadar rasuah — ini pengkhianatan keselamatan negara. Ia melibatkan pegawai tentera, wartawan, entiti perniagaan, dan kartel antarabangsa,” kata sumber.
Ops Sohor adalah hasil risikan selama setahun oleh Bahagian Perisikan SPRM yang berjaya memecahkan rangkaian kompleks terlindung di sebalik pangkat, pengaruh, dan lesen rasmi