
Peguam kepada Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu dari firma guaman Tetuan Mann & Associates telah menghantar emel kepada portal The Corporate Secret (TCS), memohon penurunan kandungan yang didakwa berunsur fitnah terhadap anak guam mereka.

Bagaimanapun, pihak TCS menjelaskan bahawa kesemua laporan adalah berdasarkan kenyataan media rasmi serta laporan terdahulu yang sahih, termasuk kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan liputan awam terhadap kes-kes sivil dan jenayah membabitkan Ranjeet Singh. Ia dilaporkan oleh pelbagai media di negara ini.
Dua artikel The Corporate Secret ialah;
9 Disember 2023 – Tipu pelaburan: Mahkamah arah Datuk Ranjeet bayar RM602 juta, Tan Sri Rashpal Singh dalangnya selamat?
10 Disember 2023 – Datuk Wira Ranjeet & ‘Tan Sri’ tipu pelaburan rugi RM1 bilion, polis tubuh pasukan khas siasatan
Dakwaan Penipuan Korporat RM600 Juta
Menurut laporan media Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu, berdepan liabiliti kewangan melebihi RM600 juta hasil daripada tiga penghakiman mahkamah — satu di Mahkamah Tinggi UK, dua lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur — atas dakwaan penipuan kewangan dan penyalahgunaan kuasa sebagai pengarah syarikat.
1. UK: Penghakiman Mutlak RM512 Juta
Pada 22 Julai 2022, Mahkamah Rayuan UK menolak rayuan Ranjeet dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan beliau membayar €101.5 juta (RM512 juta) kepada Zavarco PLC. Mahkamah mendapati beliau secara salah telah memperuntukkan saham syarikat kepada dirinya tanpa sebarang balasan tunai – satu pelanggaran terhadap Seksyen 593 Akta Syarikat UK 2006.
2. Malaysia: Dua Penghakiman Sivil
i. RM29.4 juta – Dalam kes Zavarco Berhad vs. Ranjeet Singh, mahkamah mendapati beliau
memanipulasi akaun untuk menuntut “pendahuluan pengarah” secara tidak sah.
ii. RM61 juta – Dalam kes Zavarco PLC vs. Ranjeet di Malaysia, beliau diperintahkan membayar ganti
rugi termasuk pampasan punitif kerana melesapkan dana pelabur.
Gabungan ketiga-tiga keputusan ini menjadikan jumlah liabiliti sivil melebihi RM600 juta — antara kes penipuan korporat terbesar melibatkan warganegara Malaysia di luar negara.
Siasatan Jenayah oleh PDRM Masih Berjalan
Sebelum itu pada 8 November 2023, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Ranjeet Singh berhubung dakwaan penipuan pelaburan yang dianggarkan mencecah RM1 bilion. Pasukan khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) ditubuhkan bagi menyiasat rangkaian penipuan yang turut melibatkan individu bergelar Tan Sri.

Siasatan ini berikutan sidang media Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (MAPER) pada 7 November 2023, yang diketuai oleh Shah Abdul Malek, salah seorang mangsa yang mendakwa ratusan pelabur tempatan dan antarabangsa, termasuk pegawai kerajaan, doktor, dan pelabur dari United Kingdom, menjadi mangsa penipuan terancang yang dikaitkan dengan Ranjeet Singh dan rangkaiannya.

Respons tuntutan Peguam Datuk Wira Ranjeet Singh
The Corporate Secret tiada halangan bekerjasama menurunkan kandungan jika Peguam dari Tetuan Mann & Associates mengemukakan bukti rasmi terbaru bahawa semua penghakiman sebelum ini telah selesai atau dibayar sepenuhnya. Sehingga kini, tiada pengesahan awam bahawa liabiliti RM600 juta tersebut telah dilunaskan.
Apakah tuntutan Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (MAPER) pada 7 November 2023, yang diketuai oleh Shah Abdul Malek juga telah selesai? Sekretariat MAPER boleh muncul semula mengesahkan perkara perkara ini.
Dari sumber terbaru Ranjeet Singh Sidhu masih berdepan liabiliti kewangan dan siasatan jenayah yang aktif. Tindakan undang-undang sivil telah dimuktamadkan tetapi tiada maklumat rasmi mengenai pelunasan pampasan.
Media mempunyai hak melaporkan isu berkepentingan awam selagi ia berdasarkan fakta dan keputusan mahkamah terbuka.