PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita aset bernilai RM9.7 juta setakat ini dalam siasatan kes penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang dikaitkan secara langsung dengan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, tokoh kewangan Islam dan pemilik syarikat swasta.
Menurut sumber siasatan, sitaan tersebut melibatkan enam buah rumah bernilai RM6.54 juta, sebidang tanah bernilai RM1.8 juta, serta dua kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta. Selain itu, 14 akaun bank turut dibekukan bagi tujuan pengesanan dan pemulihan dana, dengan nilai keseluruhan masih dalam proses pengesahan oleh pihak perbankan.
Sumber memaklumkan, seorang wanita bergelar Datuk yang sebelum ini direman selama lima hari telah dibebaskan dengan jaminan pada jam 2 petang semalam. Manakala Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, yang direman sejak 22 Januari, dibebaskan pada jam 12 tengah hari hari ini selepas tamat tempoh reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkembangan siasatan tersebut dan memaklumkan bahawa 10 saksi telah dipanggil setakat ini untuk dirakam percakapan.
“SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini. Kami kekal komited untuk menyelesaikan siasatan melibatkan kepentingan awam dengan kadar segera,” katanya.
Semalam, SPRM dilaporkan telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang dipercayai dikutip antara tahun 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur, melibatkan pelaburan ke atas dua syarikat.
Siasatan awal mendapati dana tersebut disyaki telah diseleweng dan dibelanjakan bagi tujuan lain, yang tidak selari dengan terma dan perjanjian pelaburan asal bersama para pelabur.
Menurut sumber lagi, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar disyaki menggunakan kedudukan, reputasi dan pengaruhnya dalam bidang kewangan Islam untuk menarik minat serta meyakinkan orang ramai menyertai skim pelaburan berkenaan.
SPRM turut memaklumkan bahawa siasatan kini memfokuskan kepada jejak aliran dana (money trail) dengan penglibatan Bahagian Analisa Kewangan SPRM serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), bagi tujuan pemulihan aset dan perlindungan kepentingan pelabur.
Pada Rabu lalu, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, yang berusia dalam lingkungan 60-an, hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
