Ketika tumpuan awam sedang terarah kepada cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad, satu perkembangan jauh lebih serius kini berlegar di sebalik tabir kuasa korporat negara — siasatan berkait dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih RM2.5 bilion yang mengaitkan kepimpinan tertinggi IJM.
Menurut sumber lebih 15 orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) dilaporkan telah melakukan serbuan ke atas pejabat IJM Corporation Berhad bagi mengumpul maklumat berkaitan satu skim kewangan mencurigakan berskala besar, yang dikaitkan dengan Pengerusi IJM, Tan Sri Krishnan Tan, serta individu yang didakwa sebagai proksinya, Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong.

Pendedahan Bermula
Segala-galanya bermula selepas pendedahan eksklusif oleh The Corporate Secret oktober 2025 yang mendedahkan:
- Siasatan Serious Fraud Office (SFO), United Kingdom terhadap Tan Sri Krishnan Tan
- Kewujudan akaun luar negara bernilai lebih RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan Seow Lun Hoo
- Rekod simpanan luar negara hampir RM90 juta yang didakwa berkait dengan Tan Sri Krishnan Tan
- Corak transaksi kewangan luar biasa yang menimbulkan persoalan serius berkaitan sumber dana dan tujuan pemindahan
Susulan pendedahan tersebut, Tan Sri Krishnan Tan mengarahkan IJM Corporation mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman The Corporate Secret, satu langkah yang dilihat oleh pemerhati sebagai usaha mempertahankan reputasi korporat di tengah tekanan awam yang semakin memuncak. Namun begitu, tindakan saman itu tidak meredakan persoalan asas yang kini sedang diteliti oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, antara fokus utama SPRM ialah siasatan berlakunya pengubahan wang haram dan manipulasi harga saham yang berpotensi berkait rapat dengan pergerakan saham IJM serta urus niaga korporat berskala besar yang sedang dirancang. Perkembangan ini menjadi semakin sensitif apabila siasatan tersebut muncul serentak dengan cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway melalui urus niaga tunai dan saham bernilai lebih RM11 bilion.
Sunway Berhad dalang tikam Pengerusi IJM?
Sumber turut memaklumkan bahawa SPRM telah menghubungi Sunway Berhad bagi mendapatkan maklumat berkaitan siasatan. Perkembangan ini mencetuskan spekulasi bahawa siasatan tersebut didalangi Sunway didorong cadangan pengambilalihan untuk mencipta naratif baru akibat tekanan pelbagai pihak menggunakan sentimen bumiputera dalam pemilikan IJM. Sentimen bumiputera jika melebar bakal menjejaskan usaha Sunway.
Untuk rekod, pada 12 Januari, Sunway mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham.
Sunway dikawal oleh pengasasnya, Tan Sri Jeffrey Cheah, yang memiliki kepentingan langsung dan tidak langsung yang signifikan dalam kumpulan tersebut.

IJM Corporation Berhad sejak sekian lama diiktiraf sebagai aset strategik negara, dengan struktur pemegangan saham yang didominasi institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Antara pemegang utama termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham terbesar, diikuti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang keseluruhannya mewakili dana awam dan simpanan rakyat.
Dalam konteks sentimen Bumiputera, cadangan pengambilalihan ini berpotensi mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan rakyat, khususnya apabila melibatkan pengurangan peranan institusi Bumiputera dan GLIC dalam pemilikan aset strategik negara. Persepsi bahawa pegangan yang selama ini mewakili kepentingan Bumiputera dan dana awam bakal terhakis demi memberi laluan kepada penguasaan korporat persendirian boleh menimbulkan penolakan awam yang sukar dipulihkan.
Sentimen ini, jika tidak ditangani secara telus dan inklusif, berkemungkinan besar akan menjejaskan hasrat Tan Sri Jeffrey Cheah selaku pemilik Sunway untuk meyakinkan pasaran dan rakyat bahawa penggabungan tersebut membawa manfaat bersama. Dalam landskap sosioekonomi Malaysia, isu pemilikan Bumiputera bukan sekadar simbolik, tetapi berkait rapat dengan keadilan ekonomi, kepercayaan awam dan kestabilan jangka panjang pasaran.
Oleh itu, sebarang langkah yang dilihat menghakis pegangan Bumiputera dalam syarikat berkepentingan strategik seperti IJM berisiko mengundang tentangan rakyat, sekali gus menjadikan cadangan pengambilalihan ini bukan sahaja cabaran korporat, tetapi ujian besar terhadap sensitiviti sosial dan tanggungjawab nasional.
Buktinya penentangan terhadap cadangan tersebut turut disuarakan secara terbuka oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan rasional menjual IJM sedangkan syarikat itu masih mencatat keuntungan dan beroperasi secara stabil. Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) dan Dewan Perniagaan Melayu turut memberi amaran bahawa pengambilalihan tersebut berpotensi menggugat pegangan ekuiti Bumiputera, meletakkan nilai terlalu rendah ke atas IJM serta menjejaskan kepentingan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Maka apakah serbuan SPRM terhadap IJM akan mengubah penentangan ini? Atau kedua-dua isu bergerak serentak antara halangan Sunway menguasai IJM dan siasatan rasuah melibatkan Tan Sri Krishnan Tan. Jalan selamat Tan Sri Krishnan perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi untuk tidak menjejaskan IJM Corp Bhd.
Mungkin juga selepas ini skandal rasuah Pegawai PNB dan KWSP yang berusaha keras menjual saham IJM kepada Sunway perlu dibongkar bersama.
Sunway Juga Bukan Bebas Kontroversi
Ironinya, Sunway sendiri bukan asing daripada skandal siasatan SPRM. Pada Ogos 2025, SPRM pernah menyiasat Sunway Construction Group Berhad berhubung skandal projek pusat data di Johor bernilai lebih RM180 juta. Dalam siasatan itu, RM7.5 juta tunai dirampas,jongkong emas, jam tangan mewah dan barangan kemas dilaporkan ditemui di kediaman seorang pengurus kanan anak syarikat Sunway. Namun, kes berkenaan ditutup selepas pegawai Tan Sri Jeffrey Cheah menjadi kambing hitam dan Sunway menerima pelepasan kes SPRM.

Apakah siasatan terhadap Tan Sri Krishnan Tan dan proksi Seow Lun Hoo akan benar-benar menemukan dana haram luar negara sebagaimana siasatan oleh Serious Fraud Office (SFO), United Kingdom terhadap Tan Sri Krishnan Tan dan Soew Lun Hoo?




SPRM dilaporkan bakal membekukan semua akaun peribadi dan urusniaga melibatkan Tan Sri Krishnan Tan dan Soew Lun Hoo. Bagi IJM Corp pembekuan akaun pasti akan menjejaskan syarikat. Ini pernah berlaku kepada syarikat Classita Holdings (Caely) yang terlibat dengan Mafia Korporat Victor Chin dalam skandal pecah amanah dan pengubahan wang haram.
