KUALA LUMPUR — Tirai akhirnya ditutup. Dato’ Fam Chee Way @ Dato’ Ben, figura korporat ‘Underworld’ yang sering dikaitkan dengan rangkaian “Kumpulan Alibaba”, secara rasmi telah melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya dalam MMAG Holdings Berhad dan berhenti sepenuhnya sebagai pemegang saham substansial syarikat tersebut.
Pendedahan ini disahkan melalui Notis Seksyen 139 Akta Syarikat 2016 yang difailkan kepada Bursa Malaysia pada 13 Januari 2026, sekali gus menamatkan penglibatan langsung beliau dalam MMAG. Langkah keluar penuh ini berlaku ketika landskap korporat semakin bergoncang, khususnya dengan nama Victor Chin Boon Long — individu yang sering digelar pemerhati pasaran sebagai “mafia korporat” — kini menjadi tumpuan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Exit Penuh Disahkan Bursa
Rekod rasmi Bursa Malaysia menunjukkan bahawa Dato’ Fam Chee Way telah melupuskan baki 117.4 juta saham MMAG, menjadikan pegangan beliau jatuh ke sifar. Pelupusan dibuat melalui pasaran terbuka dan mengakibatkan status beliau sebagai pemegang saham substansial terhenti sepenuhnya.

Walaupun saham berkenaan dijual melalui Velocity Capital Partner Berhad sebagai pemegang berdaftar, Bursa secara jelas mengesahkan bahawa kepentingan manfaat sebenar (beneficial interest) saham tersebut adalah milik Dato’ Fam Chee Way melalui struktur DB Atlantic Capital (M) Sdn. Bhd., selaras dengan Seksyen 8 Akta Syarikat 2016.
Pelupusan saham ini ada kaitan tangkapan Victor Choon Boon Long sekembalinya dari luar negara yang terkait dengan skandal pengubahan wang haram
Pendedahan mengenai mafia korporat Victor Chin telah dilakukan sejak 2023 namun beliau sangat kebal dilindungi penguatkuasa sehingga tiada pendakwaan dibuat terhadapnya.
Exit Serentak: Isyarat apa?
Pelupusan oleh Dato’ Fam Chee Way pasti ada sebabnya. Ia menyusul selepas Datuk Seri Farhash Wafa Salvador terlebih dahulu melepaskan pegangan dan meletakkan jawatan dalam MMAG. Dua tokoh besar meninggalkan syarikat yang sama dalam tempoh singkat. Kedua-duanya mengalami kerugian yang teruk dengan pelupusan saham ini. Dilaporkan semua dana pembelian saham menggunakan dana pinjaman syarikat ah long milik Dato ‘ Ben.


Exit serentak ini kini dibaca sebagai langkah pengurusan risiko, atau lebih tepat, usaha menjauhkan diri daripada rangkaian korporat yang kontroversi. Ia secara tidak langsung mendedahkan Dato’ Ben Alibaba yang selama sebagai pemegang saham terbesar Velocity Capital Partners Bhd (dulu CSH) dan MMAG Holding Bhd yang keduanya sebelum ini dimiliki oleh Victor Chin Boon Long.
Victor Chin Boon Long: Nama Yang Menghantui
Walaupun hanya ditangkap dan direman dua hari Victor Chin belum disabitkan di mahkamah. Penahanan dan siasatan AMLA terhadap Victor Chin Boon Long telah mencetuskan audit persepsi pasaran terhadap pelbagai entiti yang pernah dikaitkan dengannya termasuk pembekuan ratusan juta dana Victor Chin. Siasatan ini membuka semula persoalan mengenai aliran wang, penggunaan proksi, serta kawalan manfaat sebenar dalam beberapa syarikat tersenarai.
Dalam kalangan pemerhati pasaran, Victor Chin sering digambarkan sebagai individu yang:
• menguasai pengaruh tanpa perlu muncul secara rasmi
• menggunakan struktur proksi dan syarikat kenderaan,
• serta memanfaatkan syarikat awam sebagai sumber pembiayaan silang.
Istilah “mafia korporat” tidak lahir daripada tuduhan kosong, tetapi daripada corak dan kebetulan berulang yang sukar diabaikan.
NexG Berhad: Tempias Yang Tidak Dapat Disorok
Kontroversi ini turut memberi tempias besar kepada NexG Berhad atau dulunya Datasonic Bhd sebuah syarikat tersenarai yang menurut pendedahan dan analisis pasaran:
• mula dikuasai oleh Victor Chin selepas memperdaya pengasasnya Datuk Abu Hanifah Noordin dan mengambil alih saham-saham yang dikuasai anak Tan Sri Muhyiddin melalui Kuantum Juang Sdn Bhd dan Datuk Safian Mohd Yunus
• didakwa digunakan sebagai sumber kecairan (cash cow).
Antara isu yang diperkatakan secara terbuka:
1. Dana NexG digunakan untuk membeli pegangan dalam NexG Bina Bhd (dahulunya Classita).
2. Dana yang sama mengalir ke pembelian saham MMAG Holdings Berhad.
3. NexG Bhd menubuhkan syarikat pinjaman berlesen, yang menurut dakwaan pasaran, menyalurkan pinjaman kepada entiti berkait dengan Victor Chin Boon Long.

Syarikat Pinjaman Berlesen: Gaya Victor Chin
Corak ini bukan baharu. Hampir semua syarikat tersenarai yang didakwa berada dalam pengaruh Victor Chin — termasuk Hong Seng Consolidated, Classita, Revenue Group, MMAG dan NexG — mempunyai syarikat pinjaman berlesen dalam kumpulan masing-masing.
Persoalannya bukan kewujudan syarikat pinjaman itu, tetapi kepada siapa wang dipinjamkan.
Pemerhati pasaran melihat ini sebagai:
- mekanisme round-tripping kewangan,
- saluran tidak langsung untuk menyalurkan dana awam,
- atau alat leverage senyap bagi mengawal syarikat lain tanpa pendedahan jelas.
.Namun kali ini Dato’ Fam Chee Way @ Dato’ Ben mengalami kerugian yang teruk kerana beliau banyak membiayai dana-dana pinjaman dan pembelian saham dilakukan oleh Victor Chin
