KUALA LUMPUR, 31 Dis: British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) melantik Datuk Seri Mohd Nizom Sairi sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu dibuat susulan persaraan Tan Sri Aseh Che Mat selepas sembilan tahun menerajui lembaga pengarah syarikat berkenaan, selaras dengan keperluan tadbir urus korporat BAT Malaysia, menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
Mohd Nizom, 63, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Beliau mula menyertai lembaga pengarah BAT Malaysia sebagai pengarah bebas bukan eksekutif pada 1 Oktober 2025.
Menurut kenyataan syarikat, Mohd Nizom membawa pengalaman luas selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam bidang tadbir urus, percukaian dan pengurusan dasar, dengan tempoh perkhidmatan terakhirnya sebagai ketua LHDN dari tahun 2021 sehingga bersara pada penghujung 2023.
Dari segi akademik, beliau memiliki ijazah sarjana dalam pengurusan sistem maklumat dari Lawrence Technological University, Michigan, Amerika Syarikat, serta ijazah sarjana muda sains dari Laurentian University, Ontario, Kanada.
Selain peranannya di BAT Malaysia, Mohd Nizom turut memegang jawatan pengerusi bebas bukan eksekutif di Varia Bhd serta pengarah bebas bukan eksekutif di Jati Tinggi Group Bhd.
Dalam perkembangan pasaran, saham BAT Malaysia ditutup satu sen atau 0.2 peratus lebih rendah pada paras RM4.43 pada Rabu, sekali gus meletakkan nilai pasaran syarikat itu sekitar RM1.26 bilion. Sepanjang tahun ini, saham syarikat berkenaan telah susut lebih 40 peratus.
